TUJUAN
Garis Panduan Perniagaan Jualan Langsung
Secara Pemasaran Berbilang Tingkat (Multi-Level Marketing) Menurut
Syariah disediakan bagi tujuan memberi panduan kepada syarikat jualan
langsung yang menjalankan perniagaan berteraskan pelan pemasaran
berbilang tingkat (MLM), peserta termasuklah pengedar, wakil jualan atau
ejen, pembeli, pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung
dalam perniagaan ini serta orang awam bagi memastikan perniagaan jualan
langsung selaras dengan prinsip-prinsip syariah.
LATAR BELAKANG
2. Perniagaan jualan langsung umumnya
dan yang dijalankan secara MLM khususnya adalah salah satu bentuk
perniagaan yang telah menyumbang kepada pendapatan individu dan ekonomi
negara. Perniagaan dalam kategori ini menjadi suatu landasan yang
memberi ruang dan peluang kepada orang ramai untuk menambah pendapatan
isi rumah bagi menjana sumber mata pencarian secara tetap atau sampingan
ke arah meningkatkan taraf hidup.
3. Walau bagaimanapun, perniagaan
jualan langsung berbilang tingkat (MLM) berdepan dengan pelbagai polemik
berhubung dengan statusnya daripada perspektif hukum syarak. Sehubungan
ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal
Ugama Islam Malaysia Kali Ke-72 yang bersidang pada 25-26 Februari 2006
telah memutuskan bahawa:
“Konsep, struktur dan undang-undang
perniagaan multi-level marketing (MLM) yang diluluskan oleh Kerajaan
adalah harus dan tidak bercanggah dengan konsep perniagaan Islam”.
4. Lanjutan keputusan tersebut,
sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan bagi merangka garis panduan
berhubung amalan perniagaan ini. Jawatankuasa tersebut terdiri daripada
paka-pakar dalam bidang syariah serta wakil agensi berkaitan seperti
yang berikut:
(i) Dr. Zaharuddin bin Abd. Rahman
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
(ii) En. Mohd. Talal bin Abu Bakar
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
(iii) Ustaz Engku Ahmad Fadzil bin Engku Ali
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
(iv) Ustaz Wan Rumaizi bin Wan Husin
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
(v) Ustaz Zaharudin bin Muhammad
Penasihat Syariah Alliance Islamic Bank dan Prudential BSN Takaful
5. Draf Garis Panduan yang telah
digubal oleh jawatankuasa ini telah diluluskan dan diteliti oleh
Mesyuarat Panel Kajian Syariah Jakim Kali Ke-74 pada 24 hingga 26 Mei
2011. Selanjutnya, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi
Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-95 yang bersidang pada 16 hingga
18 Jun 2011 telah bersetuju memperakukan Garis Panduan Perniagaan Jualan
Langsung Secara Pemasaran Berbilang Tingkat (Multi-Level Marketing)
Menurut Syariah ini.
OBJEKTIF
6. Garis Panduan ini diwujudkan bagi mencapai objektif seperti yang berikut:
(a) memperinci keputusan Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia
dengan menggariskan kriteria-kriteria yang diharuskan dan dilarang
dalam perniagaan jualan langsung secara MLM; dan
(b) berperanan sebagai rujukan dan
panduan berhubung dengan perniagaan jualan langsung secara MLM yang
selaras dengan syariat Islam bagi menjamin keadilan dan ketelusan kepada
semua pihak yang terlibat dalam perniagaan ini.
TAKRIF
7. Bagi maksud garis panduan ini:
(a) “Akad” bermaksud perjanjian antara
syarikat dan peserta yang telah difahami dan dipersetujui oleh kedua-dua
belah pihak menurut hukum syarak.
(b) “Barang” bermaksud tiap-tiap jenis
harta sama ada harta ketara (tangible) atau harta tidak ketara
(intangible) dan harta berbentuk nyata atau berbentuk maya. Harta
tersebut juga hendaklah selain daripada hak dalam tindakan, suratcara
boleh niaga, syer, debenture dan wang.
(c) “Bonus” bermaksud jumlah bayaran
komisen yang dijanjikan dan dibayar kepada peserta sebagai upah kepada
peserta kerana berjaya, baik secara berseorangan mahupun secara
berkumpulan, menghasilkan natijah- natijah sebagaimana yang ditetapkan
di dalam akad dan diperincikan di dalam pelan pemasaran atau pelan
ganjaran.
(d) “Elektronik” bermaksud teknologi
yang menggunakan elektrik, optik, magnetik, elektromagnetik, biometrik,
fotonik atau teknologi lain yang seumpamanya.
(e) “Harta tidak ketara” bermaksud
apa-apa barang atau perkhidmatan yang tidak mempunyai nilai atau manfaat
yang jelas kepada peserta dan pengguna.
(f) “Insentif” bermaksud sesuatu yang diberikan atau ditawarkan sebagai dorongan atau galakan.
(g) “Jualan langsung” bermaksud jualan
terus dari pengedar yang dilantik kepada pelanggan tanpa melalui
lapis-lapis pemborong dan peruncit meliputi jualan pintu ke pintu,
pesanan pos atau jualan melalui transaksi elektronik.
4
(h) “Jualan pintu ke pintu” bermaksud
jualan barang atau perkhidmatan yang dijalankan dengan cara seperti yang
berikut:
Seseorang atau mana-mana orang yang diberi kuasa olehnya
untuk:
(i) pergi dari satu tempat ke satu tempat selain dari satu tempat perniagaan yang tetap; atau
(ii) membuat panggilan telefon mencari
orang yang bersedia untuk membuat kontrak sebagai pembeli bagi penjualan
barang atau perkhidmatan.
Orang yang mula-mula disebut itu atau
mana-mana orang lain selepas itu atau kemudiannya membuat perundingan
dengan bakal pembeli dengan mewujudkan kontrak itu.
(i) “Jualan pesanan pos” bermaksud
jualan barang atau perkhidmatan yang dijalankan oleh seseorang, sama ada
sendiri atau melalui mana- mana orang yang diberi kuasa olehnya, dengan
menerima tawaran bagi kontrak jualan melalui pos.
(j) “Jualan melalui transaksi
elektronik” bermaksud jualan barang-barang atau perkhidmatan secara
elektronik dengan menggunakan rangkaian pemasaran bagi maksud untuk
mendapatkan komisen, bonus atau apa- apa faedah ekonomi yang lain.
(k) “Komisen” bermaksud upah yang dibayar kepada wakil atau ejen kerana menjual barang atau perkhidmatan.
(l) “Perkhidmatan” bermaksud apa-apa
jenis hak atau faedah kecuali barang dan pelaksanaan kerja di bawah
suatu kontrak perkhidmatan.
(m) “Peserta” bermaksud orang yang
mengambil bahagian dalam perniagaan jualan langsung secara MLM sebagai
pihak yang memasuki akad dengan
5
syarikat jualan langsung termasuklah pengedar, wakil jualan atau ejen dan pembeli.
(n) “Produk” bermaksud barang atau perkhidmatan.
(o) “Skim piramid” bermaksud apa-apa
skim, perkiraan, pelan, pengendalian atau proses berantai yang bonus
atau faedah diperoleh semata-mata atau terutamanya daripada perekrutan
atau pengambilan peserta ke dalam skim, pelan, pengendalian atau proses
berantai piramid berbanding dengan jualan barang, perkhidmatan atau
harta tidak ketara oleh peserta.
PELAN PEMASARAN PERNIAGAAN JUALAN LANGSUNG
8. Terdapat TIGA jenis pelan pemasaran perniagaan jualan langsung seperti yang berikut:
(a) Pelan Pemasaran Berbilang Tingkat (Multi-Level Marketing Plan/MLM)
(i) Syarikat akan mengambil atau melantik individu sebagai peserta untuk menjual barang atau perkhidmatan syarikat.
(ii) Peserta yang berkenaan akan
melantik individu lain bagi membentuk rangkaian di bawahnya (downline)
untuk menjual barang atau perkhidmatan syarikat. Proses pengambilan
peserta baharu boleh diteruskan sehingga satu peringkat yang munasabah.
(iii) Setiap peserta akan mendapat
komisen, bonus atau faedah ekonomi lain daripada jualan peribadi dan
jualan ahli atau pengedar di bawah rangkaian atau dalam kumpulannya
(over-riding bonus).
(b) Pelan Pemasaran Satu Tingkat (Single Level Marketing Plan)
(i) Syarikat akan melantik atau menaja
wakil atau ejen jualan dan membayar gaji atau komisen atau gabungan gaji
dan komisen atas jumlah jualan yang dibuat.
(ii) Wakil atau ejen jualan berkenaan tidak dibenarkan untuk melantik atau menaja wakil atau ejen jualan lain.
(c) Jualan Melalui Pesanan Pos (Mail Order)
Jualan barang atau perkhidmatan yang
dijalankan oleh seseorang, sama ada secara sendiri atau melalui
mana-mana orang yang diberi kuasa melalui pos.
KRITERIA PERNIAGAAN JUALAN LANGSUNG BERBILANG TINGKAT (MLM) YANG DIHARUSKAN OLEH ISLAM
9. Perniagaan jualan langsung secara
pemasaran berbilang tingkat atau multi-level marketing (MLM) yang
diharuskan oleh hukum syarak dengan mengambil kira maslahah dan keadilan
pihak-pihak yang bertransaksi serta peruntukan undang- undang
mengandungi ciri-ciri seperti yang berikut:
(1) Berdaftar dan mempunyai lesen
Syarikat hendaklah berdaftar di bawah
Akta Syarikat 1965 dan mempunyai lesen yang sah untuk menjalankan
perniagaan jualan langsung di bawah Akta Jualan Langsung dan Skim
Anti-Piramid 1993.
(2) Kontrak Jualan Langsung Secara Bertulis
(a) Syarikat hendaklah menyediakan satu
kontrak bertulis yang mengandungi terma dan syarat yang jelas perihal
perjanjian antara syarikat dan peserta.
(b) Terma dan syarat perjanjian hendaklah difahami dan dipersetujui oleh syarikat dan peserta.
(c) Kontrak hendaklah mengandungi klausa
“KONTRAK INI ADALAH TERTAKLUK KEPADA TEMPOH BERTENANG SELAMA SEPULUH
HARI KERJA” yang dicetak dengan huruf besar dalam cetakan yang tidak
kurang daripada 18 poin Times.
(d) Kontrak tersebut hendaklah
ditandatangani atau boleh dianggap mengikut undang-undang sebagai telah
ditandatangani oleh wakil syarikat dan peserta yang baharu menyertai
syarikat jualan langsung.
(e) Seseorang peserta boleh membatalkan
kontrak tersebut pada bila- bila masa sebelum habisnya tempoh bertenang
dengan menyatakan niatnya untuk menamatkan atau menarik diri daripada
kontrak itu.
(3) Tempoh Bertenang
(a) Tempoh bertenang ialah tempoh tidak
kurang daripada sepuluh hari bekerja dari tarikh penyertaan yang
membenarkan seseorang peserta membatalkan atau menarik balik penyertaan
dalam perniagaan jualan langsung.
(b) Sekiranya berlaku pembatalan
keahlian, syarikat hendaklah memulangkan keseluruhan yuran keahlian yang
telah dibayar oleh peserta.
(c) Sekiranya pembeli membuat pembelian
dan berhasrat untuk memulangkan barang tersebut kerana didapati tidak
sesuai, pembeli berhak berbuat demikian sebelum tamat tempoh sepuluh
hari, dan syarikat hendaklah memulangkan kembali keseluruhan wang atau
harga barang tersebut.
(d) Pembeli juga berhak untuk memulangkan barang yang dibeli sekiranya didapati tidak memenuhi spesifikasi yang dikehendaki.
8
Perkara ini adalah berdasarkan khiyar
al-syart iaitu pilihan untuk membatalkan sesuatu akad selepas tempoh
beberapa hari sebagaimana yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
(4) Yuran Keahlian Pada Kadar Yang Minimum
(a) Yuran yang ditetapkan, sekiranya
ada, hendaklah pada kadar yang minimum meliputi kos pengurusan dan
bahan-bahan bercetak yang dimasukkan dalam suatu kelengkapan jualan yang
mengandungi pelan pemasaran dan kod etika syarikat.
(b) Melalui pendaftaran samada dengan
pembayaran yuran sekiranya dtetapkan oleh syarikat atau tanpa pembayaran
yuran sekiranya tidak dikenakan oleh syarikat, peserta secara automatik
telah menjadi ahli atau pengedar, wakil jualan atau ejen kepada
syarikat jualan langsung.
(c) Yuran keahlian hendaklah bukan pada
kadar yang tidak munasabah dan begitu tinggi sehingga tidak lagi kekal
sesuai dengan sifatnya untuk menampung kos starter kit atau business
tools yang disediakan oleh syarikat ketika pendaftaran sebaliknya lebih
menjurus kepada menjadi sumber bayaran kepada perekrutan ahli baru yang
menjadi asas skim piramid.
(d) Pembayaran yuran penyertaan tanpa
sebarang imbalan atau pertukaran barang atau perkhidmatan kecuali
sejumlah yang munasabah untuk menampung kos starter kit atau business
tools dan seumpamanya adalah mengandungi elemen riba al-fadhl dan riba
al-nasi’ah, iaitu meletakkan sejumlah wang (yuran penyertaan) secara
tunai dengan tujuan untuk mendapat sejumlah wang yang lebih banyak yang
berlaku secara tangguh.
(5) Tujuan Menjadi Peserta
Tujuan menjadi peserta syarikat jualan langsung mestilah jelas dan selaras dengan ketetapan syarak seperti yang berikut:
i) membeli dan menggunakan barang atau
perkhidmatan yang dikeluarkan atau ditawarkan oleh syarikat dengan
menikmati keistimewaan dan insentif yang telah ditetapkan; dan/atau
(ii) menjadi pengedar, wakil atau ejen
jualan kepada barang atau perkhidmatan yang dikeluarkan atau ditawarkan
oleh syarikat dengan menikmati keistimewaan dan insentif yang telah
ditetapkan.
(6) Akad Dalam Perniagaan Jualan Langsung
(a) Akad antara syarikat dengan peserta hendaklah ditentukan dengan jelas antara syarikat dengan peserta.
(b) Tertakluk kepada (a), dan dengan
tidak menafikan kemungkinan penggunaan akad-akad yang lain, pada asasnya
akad utama di dalam perniagaan jualan langsung secara pemasaran
berbilang tingkat (MLM) ialah akad al-ju`alah (الجعالة).
(i) Al-ju`alah (الجعالة)
Al-ju`alah ialah akad yang menjanjikan
pemberian upah kepada pihak yang berjaya menghasilkan suatu natijah yang
dikehendaki dan disyaratkan oleh orang yang berjanji iatu al- ja’il.
Akad ini bersifat result-oriented iaitu berorientasikan natijah dan
bukannya effort-oriented iaitu berorientasikan usaha menyebabkan upah
hanya wajib diberi oleh al-ja’il dan layak diterima oleh orang yang
melakukan kerja iaitu al- ’amil apabila natijah yang disyaratkan oleh
al-ja’il berjaya direalisasikan dan bukan semata-mata dengan melakukan
usaha dan mencurahkan tenaga.
Sebagai contoh, bagi memudahkan
kefahaman tentang perbezaan antara akad yang berorientasikan hasil dan
akad yang berorientasikan usaha, katakan Encik A berkata kepada Cikgu B:
”Kalau cikgu berjaya mengajar anak saya C sehingga dia boleh membaca,
saya bayar cikgu RM500”. Cikgu B berusaha bersungguh-bersungguh mengajar
C tetapi dia tetap tidak boleh membaca. Kesannya, Cikgu B tidak berhak
mendapat RM500 yang dijanjikan walaupun telah menghabiskan masa dan
tenaga mengajar anak Encik A kerana di sini syarat yang ditetapkan oleh
Encik A dan dipersetujui oleh Cikgu B menyebabkan akad menjadi
berorientasikan hasil.
Berbeza halnya sekiranya Encik A berkata
kepada Cikgu B: ”Cikgu B tolong ajar anak saya C membaca empat jam
seminggu selama sebulan, saya bayar kepada Cikgu B RM500”. Di sini, sama
ada C selepas itu boleh membaca atau tidak, selagi Cikgu B telah
menjalankan kerja yang disyaratkan iaitu mengajar anak Encik A, C,
membaca dalam tempoh tersebut, maka Cikgu B berhak mendapat RM500 yang
dijanjikan kerana di sini akad berorientasikan usaha dan masa.
Akad al-ju’alah umumnya adalah akad yang
tidak mengikat kedua-dua pihak (gyair lazim) dan didapati sesuai secara
praktis dengan amalan MLM di mana peserta bukan pekerja kepada syarikat
dan syarikat pula bukan majikan kepada pekerja.
Dalam konteks MLM, syarikat jualan
langsung menjadi al- ja’il atau orang yang membuat janji melalui akad
al-ju’alah yang ditawarkan melalui pelan pemasaran yang ditetapkan
sementara peserta pula menjadi al-’amil atau pelaksana dengan memenuhi
syarat-syarat upah yang ditetapkan dalam pelan pemasaran yang ditetapkan
syarikat dan dipersetujui peserta. Di antara sesama peserta pula iaitu
uplines dan downlines tidak wujud akad tertentu selain hubungan
kerjasama sebagai al-musytarikun fi al-’amal atau pihak-pihak yang
melaksanakan sesuatu tugas secara bersama-sama yang berkongsi upah
melalui formula yang telah ditetapkan dalam pelan pemasaran.
(ii) Al-Wakalah wakil((الوكالة)atau ejen)
Al-Wakalah ialah akad yang memberi kuasa
kepada seseorang (al-wakil) untuk bertindak bagi pihak yang memberi
kuasa (al-muwakkil). Biasanya syarikat yang menjalankan perniagaan
jualan langsung secara MLM secara jelas menafikan kewujudan hubungan
al-wakil dan al- muwakkil antara peserta dan syarikat. Oleh itu,
penggunaan akad ini lebih berpotensi berlaku di dalam perniagaan jualan
langsung secara SLM berbanding MLM. Dalam akad ini, peserta termasuk
pengedar, wakil jualan atau ejen melaksanakan tugas membuat penerangan
tentang syarikat, promosi barang atau perkhidmatan, menjual barang dan
perkhidmatan serta mendaftar ahli baharu untuk syarikat. Syarikat akan
membayar gaji, komisen, bonus atau faedah ekonomi lain atas tugas atau
kerja apabila peserta mencapai sasaran jualan berdasarkan konsep al-ujr
atau al-ju`alah atau kombinasi. Menerusi akad al-wakalah, peserta
atau wakil boleh berhenti atau menarik diri pada bila-bila masa apabila
peserta tidak lagi melaksanakan kerja dalam tempoh masa sebagaimana yang
ditetapkan oleh syarikat misalnya setahun. Sekiranya peserta tidak
menarik diri selepas tempoh tersebut, kontrak akan tamat dengan
sendirinya meskipun tidak dimaklumkan kepada syarikat berhubung
penamatan tersebut.
(iii) Al-Wakalah bi ujr (بٔاجر) wakil ((الوكالة) atau ejen dengan upah)
Al-Wakalah bi ujr ialah akad yang
memberi kuasa kepada seseorang (al-wakil) untuk bertindak bagi pihak
yang memberi kuasa (al-muwakkil). Biasanya akad ini diaplikasikan dalam
perniagaan jualan langsung satu tingkat. Menerusi akad ini, syarikat
akan melantik peserta termasuk pengedar, wakil jualan atau ejen
melaksanakan tugas membuat penerangan tentang syarikat, promosi barang
atau perkhidmatan, menjual barang dan perkhidmatan serta mendaftar ahli
baharu untuk syarikat. Syarikat akan membayar komisen, bonus atau faedah
ekonomi lain atas tugas atau kerja apabila peserta mencapai sasaran
jualan berdasarkan konsep al-ju`alah. Menerusi akad al-wakalah bi ujr,
kedua-dua pihak tidak harus membatalkan akad tanpa persetujuan pihak
lain.
Nota:
Dari sudut fiqh, al-wakalah bi ujr terbahagi kepada dua:
Pertama: Al-wakalah dengan konsep al-ju`alah (upah atas hasil kerja)
Contoh: “A menjadi wakil B untuk mempromosi barang, jika terjual barang tersebut, 5%daripadanya milik B.”
Al-wakalah dengan konsep al-ju`alah,
semua fuqaha‟ berpandangan ia tidak mengikat, kecuali Mazhab Maliki yang
mengatakan mengikat jika orang yang menerima tawaran telah memulakan
kerja atau tugas.
Kedua: Al-wakalah dengan konsep ijarah (upah atas masa contoh seminggu, setahun)
Contoh: “A menjadi wakil B untuk menjual
barang dengan upah RM10 sehari”. A tetap mendapat upah meskipun tidak
berjaya menjual barang tersebut.
Mazhab Hanafi dan Maliki berpandangan
bahawa wakalah dengan konsep ijarah mengikat kedua-dua belah pihak.
Menurut mazhab Syafi‟i dan Hanbali, ia tetap tidak mengikat.
(iv) Hibah (الهبة)
Hibah ialah suatu pemberian sukarela yang diharuskan oleh syarak oleh syarikat kepada peserta.
(v) Al-bay’ (البيع) (jual beli)
Akad jual beli yang berlaku antara
syarikat dan peserta atau antara syarikat dan pengguna akhir atau antara
peserta dan pengguna akhir.
(7). Kontrak Berteraskan Prinsip Saling Reda-Meredai (التراضي).
(a) Akad antara pihak-pihak yang
berkontrak hendaklah saling reda- meredai (التراضي(semasa memeterai
akad. Fuqaha’ bersepakat bahawa prinsip saling reda-meredai merupakan
syarat sah akad.
(b) Hukum syarak menggariskan bahawa
prinsip saling redha-
meredhai berlaku apabila terdapatnya niat yang
memberi kesan
kepada akad iaitu bebas daripada tekanan atau paksaan.
Justeru,
transaksi jualan langsung antara pihak-pihak hendaklah
berpaksikan kepada prinsip saling redha-meredhai serta bebas daripada
unsur paksaan, manipulasi dan eksploitasi.
(8) Keistimewaan Peserta
Setiap peserta syarikat jualan langsung layak untuk menikmati salah satu atau gabungan keistimewaan seperti yang berikut:
(i) Mendapat potongan harga bagi setiap
pembelian dan/atau mendapat baucar atau kupon bagi produk yang
ditawarkan oleh syarikat. Potongan tersebut adalah berdasarkan akad
al-wa’d bi al- hibah (janji untuk memberi hibah).
(ii) Mendapat komisen, bonus atau
faedah ekonomi lain bagi setiap pembelian atau jualan peribadi atau
pembelian atau jualan orang di bawah rangkaian atau dalam kumpulannya
berdasarkan akad al- ju’alah.
(iii) Menjadi pengedar kepada rangkaian
produk syarikat iaitu menjadi suatu entiti perniagaan berasingan di
bawah syarikat jualan langsung (independent business owner).
(9) Kriteria Produk
(a) Produk yang dikeluarkan oleh
syarikat hendaklah terdiri daripada barang dan perkhidmatan yang halal
dan bermanfaat menurut perspektif syarak.
(b) Produk umumnya perlu merupakan
produk yang berkualiti dan selamat digunakan dan mestilah dijangka
secara wajar, munasabah dan adil bahawa produk yang ditawarkan masih
diminati untuk dibeli oleh pengguna sasaran tanpa mengambil kira pelan
pemasaran MLM yang disediakan.
(c) Produk bukanlah sebagai “topeng”
atau helah dalam urus niaga bagi mengaburi ciri-ciri skim piramid atau
skim cepat kaya. Kekuatan syarikat jualan langsung adalah terletak
kepada produk yang bermutu dan bukan terhadap objektif jangka pendek
bagi tujuan mengaut keuntungan segera semata-mata.
(d) Produk makanan, minuman dan
barangan gunaan yang dijual oleh syarikat hendaklah mendapat
pengiktirafan halal daripada Jakim atau badan-badan persijilan halal
yang diiktiraf oleh Jakim. Bagi menjamin sistem pengurusan syarikat
adalah mengik ut prinsip- prinsip Islam, disarankan agar syarikat jualan
langsung memohon piawaian MS2400:2010 Standards on Halal Logistics,
MS1500:2009 Makanan Halal: Pengeluaran, Penyediaan Pengendalian dan
Penyimpanan, MS2200 Bahagian 1:2008 Barang Gunaan Islam-Bahagian 1:
Kosmetik dan Dandanan Diri- Garis Panduan Umum dan MS1900:2005 Standards
on Quality Management System from Islamic Perspective bagi memberi
nilai tambah terhadap pengiktirafan halal bagi produk-produk syarikat
terbabit.
(e) Produk bukanlah terdiri daripada
barang ribawi seperti emas dan perak yang boleh dijual beli secara
tangguh kerana melibatkan elemen riba.
(10) Harga Produk
(a) Harga bagi produk yang ditawarkan
oleh syarikat hendaklah munasabah, berpatutan, tidak melampau dan
berkadaran dengan jenis dan kualiti barang dan perkhidmatan.
(b) Produk yang ditawarkan masih
diminati untuk dibeli oleh pengguna pada harga yang ditawarkan tanpa
mengambil kira pelan pemasaran MLM yang disediakan.
(11) Pemberian Insentif
(a) Pemberian insentif oleh syarikat kepada peserta boleh berupa komisen, bonus atau faedah ekonomi yang lain.
(b) Pembayaran komisen, bonus atau
faedah ekonomi lain dalam perniagaan jualan langsung adalah berdasarkan
prinsip al-jua`lah atau hibah.
(c) Pemberian komisen, bonus atau
faedah ekonomi lain hendaklah berasaskan jualan kuantiti barang atau
perkhidmatan dan bukan berasaskan perekrutan atau pengambilan peserta
baharu semata- mata.
(d) Pelan pemasaran syarikat jualan
langsung dan pelan pemberian insentif yang bermatlamat perekrutan atau
pengambilan peserta baharu semata-mata atau terutamanya sebagai
kelayakan untuk mendapat komisen, bonus atau faedah ekonomi lain adalah
mengandungi elemen money game atau perjudian yang tidak diharuskan oleh
hukum syarak.
(e) Upline berhak menerima komisen,
bonus atau faedah ekonomi lain daripada pembelian atau jualan downline
berdasarkan akad ju’alah iaitu pihak-pihak yang bersepakat dalam
melaksanakan sesuatu kerja (al-mushtarikun fi al-a`mal) dan syarikat
sebagai pihak yang menjanjikan upah (al-ja’il) sebagaimana yang
diperincikan pembahagiannya dalam pelan pemasaran syarikat.
(f) Komisen, bonus atau faedah ekonomi
lain hendaklah diambil daripada keuntungan jualan produk dan/atau atas
sumbangan syarikat.
(g) Syarikat hendaklah menetapkan
dengan jelas kerja yang perlu dilakukan dan natijah dan hasil yang perlu
dicapai oleh peserta bagi melayakkannya mendapat komisen, bonus atau
faedah ekonomi lain dan mengisytiharkan syarat-syarat tersebut.
(h) Syarikat hendaklah memberi peluang secara adil kepada semua peserta untuk mendapatkan komisen, bonus atau insentif.
(i) Syarikat digalakkan untuk
mempelbagaikan produk bagi membuka peluang kepada peserta
memperbanyakkan jualan bagi tujuan mendapatkan komisen, bonus atau
faedah ekonomi lain. Pendekatan ini bertujuan untuk mengelakkan
berlakunya eksploitasi sistem atau rangkaian menjadi money game.
(j) Pelan pemasaran syarikat dan pelan
pemberian insentif kepada peserta hendaklah dinyatakan secara jelas oleh
syarikat dalam dokumen bertulis yang peserta diberi peluang sewajarnya
untuk memahaminya sebelum memasuki akad.
(12) Pelantikan Penasihat Syariah
(a) Syarikat hendaklah melantik
Penasihat Syariah yang terdiri daripada sekurang-kurangnya dua orang
Islam yang sekurang- kurangnya mempunyai ijazah sarjana muda dalam
bidang syariah termasuk pengajian dalam Usul Fiqh dan Fiqh Muamalat.
(b) Syarikat digalakkan untuk melantik Penasihat Syariah yang mempunyai pengalaman yang bersesuaian dalam bidang muamalat.
(c) Penasihat Syariah tidak boleh
mempunyai sebarang hubungan yang boleh mempengaruhi pendiriannya dalam
membuat keputusan yang bebas dengan mempunyai hubungan kekeluargaan
terdekat seperti pasangan, anak atau adik-beradik dengan Ketua Pegawai
Eksekutif Syarikat atau ahli Lembaga Pengarah; dan tidak mempunyai
kepentingan saham dalam syarikat jualan langsung atau anak-anak
syarikatnya.
(13) Program Latihan
(a) Syarikat hendaklah menganjurkan program latihan bagi tujuan seperti yang berikut:
(i) untuk memperkenalkan produk kepada
peserta khususnya bagi produk yang mempunyai ciri-ciri khusus yang
bersifat teknikal dan ciri-ciri khusus yang mematuhi hukum syarak; dan
(ii) untuk memberikan pendedahan kepada
peserta berhubung dengan kaedah pemasaran bagi meningkatkan prestasi
jualan syarikat secara beretika dan mematuhi undang- undang.
(b) Syarikat boleh menganjurkan program
latihan sama ada secara percuma atau berbayar dengan kadar yuran
penyertaan yang munasabah.
(c) Pengendalian program latihan
hendaklah bertepatan dengan prinsip-prinsip syarak termasuklah
memelihara adab dan pergaulan antara lelaki dan wanita.
(d) Bagi syarikat yang telah melantik
Penasihat Syariah, Penasihat Syariah hendaklah diberi ruang yang
sewajarnya untuk memainkan peranan dalam memberi latihan, bimbingan dan
kefahaman
tentang teori dan amali kepatuhan syariah di dalam perniagaan
jualan langsung secara MLM kepada para peserta supaya dapat diamalkan
dan dihayati oleh mereka.
(14) Polisi Beli Balik Atau Polisi Bayar Balik
(a) Syarikat hendaklah menyediakan suatu kontrak bertulis yang mengandungi terma tentang polisi beli balik atau bayar balik.
(b) Syarikat hendaklah membeli balik
apa-apa barang yang boleh dipasarkan yang telah dijual kepada peserta
dalam masa enam bulan dengan membuat pembayaran tidak kurang daripada
sembilan puluh peratus (90%) daripada amaun yang dibayar.
(15) Penarikan Diri Peserta
Mana-mana peserta boleh menarik diri
daripada menyertai syarikat pada bila-bila masa berdasarkan terma dan
syarat yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
UNSUR-UNSUR YANG DILARANG DALAM PERNIAGAAN JUALAN LANGSUNG BERBILANG TINGKAT
10. Unsur-unsur yang dilarang dalam
perniagaan jualan langsung secara berbilang tingkat atau multi-level
marketing (MLM) adalah seperti yang berikut:
(1) Mengandungi Unsur Skim Piramid
(a) Skim piramid atau skim cepat kaya
adalah tidak mematuhi prinsip- prinsip Syariah kerana berteraskan unsur
perjudian atau pertaruhan (qimar) melalui permainan wang (money game)
iaitu downline yang baharu ditaja oleh upline akan kehilangan wang
penyertaan jika tidak berusaha mencari downline yang lain.
(b) Kontrak bertulis antara syarikat dan peserta tidak disediakan.
(c) Pelan memfokuskan kepada pencarian
atau perekrutan ahli baharu (downline) semata-mata atau terutamanya dan
bukan dengan tujuan menjalankan perniagaan melalui aktiviti pergerakan
produk kepada pengguna-pengguna akhir secara sewajarnya.
(d) Pendapatan peserta dan syarikat
dalam skim piramid atau skim cepat kaya dijana daripada yuran penyertaan
ahli baharu semata- mata atau terutamanya dan bukan hasil daripada
penjualan barang atau perkhidmatan.
(e) Pembelian wajib barang atau
perkhidmatan atau harta tidak ketara atau bayaran minimum atau kehendak
jualan dikenakan sebagai syarat untuk melayakkan seseorang mendapat
bonus atau faedah ekonomi lain dalam skim terhadap pembelian atau jualan
peribadi atau pembelian atau jualan ahli di bawahnya.
(f) Peserta tidak diberi pilihan dan
dikehendaki melakukan “inventory front-loading” iaitu membeli barang
atau perkhidmatan dalam amaun yang tidak munasabah yang melebihi
jangkaan boleh dijual atau digunakan dalam suatu tempoh masa yang
munasabah.
(g) Pembelian pangkat atau pembelian
lebih daripada satu keahlian merupakan pendekatan yang mengandungi
elemen skim piramid dan dengan itu adalah bertentangan dengan hukum
syarak.
(h) Syarikat yang menetapkan struktur
pembayaran bonus mengikut susunan hierarki yang ketat tanpa membenarkan
peserta melangkau upline dengan tidak mengambil kira keupayaan dan usaha
sebenar peserta adalah mengandungi elemen skim piramid yang
bertentangan dengan hukum syarak.
21
(i) Polisi bayar balik (refund) atau polisi beli balik (buy back) tidak disediakan
(j) Tidak membenarkan peserta menarik diri daripada menyertai pelan.
(2) Mengandungi Unsur Penipuan, Penindasan, Manipulasi dan Eksploitasi Dalam Pelan Pemasaran dan Pelan Pemberian Insentif
(a) Syarikat hendaklah memastikan
bahawa pelan pemasaran dan pelan pemberian insentif adalah telus dan
adil serta bebas daripada sebarang bentuk penipuan, penindasan,
manipulasi dan eksploitasi yang boleh memperdaya ahli atau pengguna.
(b) Sebarang unsur penipuan,
penindasan, manipulasi dan eksploitasi oleh ahli atau pengedar dalam
usaha mencari ahli baharu semata- mata atau terutamanya untuk
meningkatkan sasaran pencapaian kumpulan adalah ditegah oleh hukum
syarak.
”Manipulasi” ertinya segala tindakan dan selok-belok untuk
memperdaya orang atau mempengaruhi pendirian orang lain tanpa disedari
orang itu.
”Eksploitasi” ertinya perbuatan (tindakan) mengambil
kesempatan untuk mempergunakan seseorang atau sesuatu keadaan dan secara
tidak adil demi kepentingan atau keuntungan diri sendiri.
(3) Mengandungi Unsur Paksaan
(a) Usaha yang bertujuan untuk mencari
ahli baharu hendaklah dibuat menerusi pendekatan dan kaedah yang telus
dan berhikmah tanpa unsur paksaan yang boleh mengganggu atau
mendatangkan kegelisahan dan kegusaran kepada individu yang didekati.
(b) Selepas setiap sesi penerangan
tentang profil syarikat, produk, pelan pemasaran dan pelan pemberian
insentif, individu yang didekati mestilah diberi ruang dan masa untuk
berfikir bagi membuat pertimbangan sama ada ingin menjadi peserta atau
menolak pelawaan tersebut.
(c) Peserta hendaklah diberi kebebasan
sepenuhnya dalam pembelian dan tidak didesak untuk membeli pakej
barangan tertentu untuk memenuhi kehendak jualan bagi melayakkan mereka
mendapat kedudukan atau bonus dalam skim sedangkan mereka berkemungkinan
tidak memerlukan beberapa barang dalam pakej tersebut atau memerlukan
barang-barang yang ditawarkan dalam pakej tersebut tetapi tidak pada
jumlah yang begitu banyak seperti yang ditetapkan.
(4) Mengandungi Unsur Pembaziran
(a) Pembelian dalam kuantiti yang
banyak tanpa justifikasi yang wajar semata-mata untuk mendapatkan bonus
yang ditawarkan tanpa mempunyai strategi pemasaran yang sewajarnya.
(b) Pembelian produk yang ditawarkan
oleh syarikat hendaklah berlandaskan kepada keperluan kepenggunaan
sebenar dan/atau keupayaan untuk menjual produk tersebut.
(5) Menjanjikan Keuntungan Tetap Tanpa Usaha
Mana-mana syarikat jualan langsung yang
menjanjikan keuntungan tetap kepada peserta melalui pemberian
komisen/bonus tanpa sebarang usaha yang jelas meliputi aktiviti promosi
dan penjualan barang atau perkhidmatan adalah bertentangan dengan hukum
syarak kerana mengandungi unsur riba.
(6) Mengandungi Unsur Syubhah
Dalam konteks perniagaan jualan langsung
yang berteraskan multi-level marketing, syarikat hendaklah memastikan
bahawa pelan pemasarannya adalah bebas daripada perkara yang tidak jelas
atau syubhah شبهة)) dalam setiap aspek perniagaan tersebut meliputi
pelan pemasaran, pemberian insentif, barang dan perkhidmatan dan
perkara-perkara lain yang berkaitan dengannya bagi memastikan perniagaan
yang dijalankan adalah mematuhi prinsip-prinsip syariah yang telah
digariskan oleh Islam.
PENUTUP
Garis Panduan Perniagaan Jualan Langsung
Secara Pemasaran Berbilang Tingkat (Multi-Level Marketing) Menurut
Syariah adalah selaras dengan peruntukan-peruntukan dalam Akta Jualan
Langsung dan Skim Anti-Piramid .1993Oleh itu, mana-mana perkara yang
tidak dinyatakan dalam garis panduan ini, dengan itu hendaklah dirujuk
kepada Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid .1993Pihak-pihak yang
berkaitan hendaklah merujuk kepada garis panduan ini bagi menentukan
parameter yang diharuskan oleh syariah berhubung dengan perniagaan
jualan langsung secara pemasaran berbilang tingkat.