NURAINN AZHAR
11 Julai 2012
Set keluarga yang ditawarkan kepada pelanggan.
Antara menu di RFC
Sihat, organik dan halal. Tiga faktor utama menjadi keutamaan Herba
Penawar Al-Wahida (HPA) bagi pelaksanaan restoran makanan segera di
bawah pengurusan mereka iaitu Radix Fried Chicken (RFC).
Pembukaan cawangan pertama RFC di Sungai Petani empat tahun lalu,
menjadi titik tolak kepada syarikat dan sehingga kini mereka mempunyai
sepuluh cawangan seluruh Malaysia.
Menekankan moto Produk Halal Tanggungjawab Bersama, RFC semakin rancak melebarkan empayarnya bagi segmen makanan segera.
Walaupun terpaksa bersaing dengan restoran makanan segera lain, tetapi
tidak menjadi penghalang kepada RFC untuk memperoleh keyakinan pelanggan
terhadap menu ditawarkan.
RFC bukan francais
Berbeza dengan restoran makanan segera lain yang ada di antaranya diusahakan dengan konsep francais, tetapi tidak bagi RFC.
Pengarah Urusan Kumpulan HPA, Ismail Ahmad berkata, setiap ahli yang
mempunyai modal boleh membuka dan mengusahakan RFC tetapi perlu mendapat
keizinan daripada HPA terlebih dahulu.
Menurutnya, kos pelaburan bagi pembukaan dan pelaksanaan sesebuah cawangan adalah antara RM500,000 hingga RM1 juta.
“Pembukaan cawangan baru secara tidak langsung pengusaha sedang mengembangkan jenama di bawah pengurusan HPA.
“Bagi ahli yang membuka cawangan RFC, mereka akan diberikan bantuan
dari segi khidmat nasihat dan latihan untuk mengendalikan restoran,”
katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pejabatnya.
Ismail berkata, pembukaan setiap cawangan RFC secara tidak langsung
membantu mengembangkan jenama di bawah HPA berikutan kebanyakan produk
digunakan adalah keluaran sendiri.
Katanya, Mac lalu, RFC telah membuka jabatan khusus bagi mengendalikan
promosi secara terus dan menyeluruh melibatkan jualan, acara dan
pengiklanan menerusi media elektronik serta cetak.
14 cawangan pada 2013
Menurut Ismail, sehingga kini RFC mempunyai 10 cawangan di Semenanjung
Malaysia dan optimis menambah tiga lagi bagi melengkapkan 13 kesemuanya
menjelang hujung tahun ini.
Katanya, syarikat turut menyasarkan pembukaan 14 cawangan baru pada
2013 bagi Semenanjung Malaysia dalam melebarkan sayap perniagaan RFC
sekali gus memastikan mereka terus kukuh.
“Tidak hanya menumpukan pemasaran di Semenanjung Malaysia, tetapi RFC
turut mendapat permintaan daripada pelanggan di Sabah dan Sarawak,
tetapi perlu mengkaji pelbagai faktor sebelum membukanya.
“Pelaburan bagi setiap pembukaan cawangan baru melibatkan kos antara
RM1 juta hingga RM1.2 juta secara keseluruhan termasuk pengubahsuaian
dan kelengkapan diperlukan,” katanya.
Menurutnya, purata kapasiti pengeluaran ayam setiap bulan mencecah
30,000 ekor. Walaupun kos ternakannya tinggi, tetapi ia masih dapat
ditampung RFC.
Ismail berkata, selain menambah cawangan baru, RFC juga bercadang
menyediakan dapur bergerak bagi memudahkan pelanggan mendapatkan produk
mereka pada setiap majlis dianjurkan.
Katanya, berbanding sebelum ini, setiap majlis atau program anjuran
syarikat perlu diadakan di cawangan Shah Alam, tetapi dengan kewujudan
dapur bergerak tersebut, syarikat dapat mengadakannya di pelbagai
lokasi.
Bakal sertai DPIM
Mengulas mengenai penyertaan HPA dalam Dewan Perdagangan Islam Malaysia
(DPIM), beliau berkata, sehingga kini mereka belum menjadi ahli, tetapi
mempunyai perancangan menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu.
Ismail berkata, HPA sememangnya mempunyai hubungan baik bersama DPIM
khususnya Presidennya, Tan Sri Muhammad Ali Hashim yang sering dijemput
dalam sesi dialog dan program HPA.
“Selari dengan perjuangan DPIM, RFC juga menjalankan perniagaan
berkonsepkan islamik dan berhasrat menjadi salah satu restoran makanan
segera berbentuk islamiah.
“Fokus utama syarikat kini adalah meningkatkan hospitaliti dan
perkhidmatan lebih efisien di setiap cawangan bagi memastikan pelanggan
berpuas hati,” katanya.
Ismail berkata, penekanan yang diutamakan RFC bagi segmen pemprosesan, penternakan dan pengeluaran ayam adalah kualiti.
Katanya, mekanisme digunakan untuk menternak ayam adalah berkonsepkan
organik tanpa menggunakan vaksin dan bebas daripada ubatan kimia.
“Manakala, makanan ayam yang digunakan juga diproses sendiri tanpa
menggunakan serbuk tulang (dicalsiumphosphate). Ayam RFC tidak hanyir
dan rasanya seperti ayam kampung.
“Tidak menggunakan serbuk perisa (monosodiumglutamate) bagi setiap ayam membuatkan pelanggan kami tidak cepat jemu,” katanya.
Menurutnya, hampir semua produk digunakan di RFC adalah keluaran HPA
termasuk sos cili dan air yang digunakan setiap pelanggan ketika
mengunjungi mana-mana cawangan.
Ismail berkata, syarikat turut memberi keutamaan bagi penyembelihan
ayam dan memastikan ia dibuat mengikut hukum fikah malah penyembelih
juga terdiri daripada mereka yang bertauliah serta dipilih sendiri oleh
HPA Farm.