Iman yang tidak mantap apabila berhadapan dengan ujian akan menampakkan
rasa panik dan cemas. Inilah yang perlu diperhatikan oleh pejuang
kebenaran kerana selebihnya dari rasa percaya yang kuat, kekuatan yang
akan muncul selepas itu ialah kekuatan tawakkal.
Ini jelas digambarkan oleh Allah SWT di dalam Surah Ali Imran (ayat 154) dari kisah peperangan Uhud.
ثُمَّ أَنزَلَ عَلَيْكُم مِّن بَعْدِ الْغَمِّ أَمَنَةً نُّعَاساً
يَغْشَى طَآئِفَةً مِّنكُمْ وَطَآئِفَةٌ قَدْ أَهَمَّتْهُمْ أَنفُسُهُمْ
يَظُنُّونَ بِاللّهِ غَيْرَ الْحَقِّ ظَنَّ الْجَاهِلِيَّةِ
“Kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) yang mendukacitakan itu,
Allah menurunkan kepada kamu perasaan aman tenteram, iaitu rasa
mengantuk yang meliputi segolongan dari kamu (yang teguh imannya lagi
ikhlas), sedang segolongan yang lain yang hanya mementingkan diri mereka
sendiri, mereka menyangkakan terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak
benar, seperti sangkaan orang-orang jahiliah…” (Surah Ali Imran, ayat
154).
Sangkaan yang tidak benar terhadap Allah SWT sehingga meragui
perjuangan yang membawa mereka ke Syurga. Mereka menyangka jika Nabi
Muhammad SAW itu benar-benar Nabi dan Rasul tentu dia tidak dikalahkan
dalam peperangan. Sangkaan ini menjadi semakin keliru sehingga mereka
menyabitkan; sekiranya mereka tidak keluar berperang pasti mereka tidak
akan dibunuh.
يَقُولُونَ لَوْ كَانَ لَنَا مِنَ الأَمْرِ شَيْءٌ مَّا قُتِلْنَا
هَاهُنَا قُل لَّوْ كُنتُمْ فِي بُيُوتِكُمْ لَبَرَزَ الَّذِينَ كُتِبَ
عَلَيْهِمُ الْقَتْلُ إِلَى مَضَاجِعِهِمْ وَلِيَبْتَلِيَ اللّهُ مَا فِي
صُدُورِكُمْ وَلِيُمَحَّصَ مَا فِي قُلُوبِكُمْ وَاللّهُ عَلِيمٌ بِذَاتِ
الصُّدُورِ
“Mereka berkata (sesama sendiri): ‘Kalaulah kita mempunyai sedikit
pilihan (sudah tentu kita akan memilih tidak keluar berperang dan)
tentulah (orang-orang) kita tidak terbunuh di tempat ini?’. Katakanlah
(wahai Muhammad); ‘Kalau kamu berada di rumah kamu sekalipun nescaya
keluarlah juga orang-orang yang telah di takdirkan (oleh Allah) akan
terbunuh itu ke tempat mati masing-masing’. Dan (apa yang berlaku di
medan perang uhud itu) dijadikan oleh Allah untuk menguji apa yang ada
dalam dada kamu, dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hati kamu.
Dan (ingatlah) Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada
di dalam dada” (Surah Ali Imran, ayat 154).
Hati yang mati tidak mampu lagi melihat hikmah dan rahsia di
sebalik sesuatu kejadian. Akibat dari inilah hati mereka akan menjadi
keras, kufur serta berani menentang sesuatu hukum dari Allah SWT dan
RasulNya. Apabila kita berpegang dengan Islam, sekali-kali jangan
disalahkan sesiapa apabila datangnya ujian tetapi tabahilah kerana di
sinilah yang bernama mujahadah. Persiapkan diri untuk sakit dan selesa
bersama perjuangan kebenaran, bukannya hanya untuk musim gembira sahaja.
Sabda Nabi s.a.w.:
أَلا إِنَّ رَحَى الإِسْلامِ دَائِرَةٌ، فَدُورُوا مَعَ الْكِتَابِ
حَيْثُ دَارَ، أَلا إِنَّ الْكِتَابَ وَالسُّلْطَانَ سَيَفْتَرِقَانِ، فَلا
تُفَارِقُوا الْكِتَابَ، أَلا إِنَّهُ سَيَكُونُ عَلَيْكُمْ أُمَرَاءُ
يَقْضُونَ لأَنْفُسِهِمْ مَا لا يَقْضُونَ لَكُمْ، إِنْ عَصَيْتُمُوهُمْ
قَتَلُوكُمْ، وَإِنْ أَطَعْتُمُوهُمْ أَضَلُّوكُمْ"، قَالُوا: يَا رَسُولَ
اللَّهِ، كَيْفَ نَصْنَعُ؟ قَالَ:"كَمَا صَنَعَ أَصْحَابُ عِيسَى ابْنِ
مَرْيَمَ، نُشِرُوا بِالْمَنَاشِيرَ، وَحُمِلُوا عَلَى الْخَشَبِ، مَوْتٌ
فِي طَاعَةِ اللَّهِ خَيْرٌ مِنْ حَيَاةٍ فِي مَعْصِيَةِ اللَّهِ
“Ingatlah bahawasanya roda Islam itu berpusing, maka berpusinglah
kamu bersama Kitab Allah di mana sahaja ia berpusing. Ingatlah
bahawasanya Kitab Allah dan pemerintah akan berpisah, maka janganlah
kamu berpisah dengan Kitab Allah. Ingatlah bahawasanya kamu akan
diperintah oleh pemimpin-pemimpin yang mereka memutuskan untuk mereka
apa yang tidak mereka putuskan untuk kamu di mana jika kamu engkari
mereka, mereka akan membunuh kamu, namun jika kamu taati mereka mereka
akan sesatkan kamu”. Para sahabat bertanya; “Ya Rasulullah, apa yang
perlu kami lakukan?”. Jawab Nabi; “Lakukanlah sebagaimana yang dilakukan
oleh sahabat-sahabat Nabi Isa a.s.. Mereka digergaji dengan
gergaji-gergaji dan disalib di atas batang-batang kayu (namun mereka
tetap teguh). Sanggup mati kerana mentaati Allah lebih baik dari hidup
yang terpaksa menderhakai Allah” (HR Imam at-Tabrani dari Mu’az bin
Jabal r.a.)
Kebanyakan dari kita merasa gembira dengan kejayaan sesuatu
perjuangan tetapi apabila perjuangan ditimpa kesusahan mereka lari ke
belakang. Ini bukanlah dinamakan orang berjuang tetapi sekadar
ikut-ikutan kerana perjuangan itu belum kukuh di hati. Saat kita
mendapat kejayaan, perjuangan memang menjadi indah, tetapi saat kita
diuji ternyata hakikatnya tidak ramai yang mampu bersyukur lagi. Firman
Allah SWT:
وَقَلِيلٌ مِّنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ
“Sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur” (Surah Saba’, ayat 14).
Kita yang pernah hidup senang perlu bersyukur ketika susah atas
nikmat lalu walaupun telah hilang. Kita yang pernah merasai hidup
berkeluarga perlu bersyukur atas nikmat lalu meskipun sekarang telah
berpisah. Redha atas setiap ketentuan Ilahi meskipun yang Allah berikan
cuma mimpi yang indah. Jelaslah iman itu mempunyai mata yang mampu
melihat hikmah kejadian Allah pada dirinya, redha dan mensyukuri
meskipun tidak diberi. Nikmat hidup dalam iman dan Islam adalah sesuatu
yang menutupi segala nikmat kehidupan yang lain, dari itu tidak perlu
lagi dihitung lagi menang atau kalah. Firman Allah SWT:
وَلَئِن قُتِلْتُمْ فِي سَبِيلِ اللّهِ أَوْ مُتُّمْ لَمَغْفِرَةٌ مِّنَ اللّهِ وَرَحْمَةٌ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ
“Demi sesungguhnya! Jika kamu terbunuh pada jalan Allah atau kamu
mati (dengan mati biasa), sesungguhnya keampunan dari Allah dan
rahmatNya adalah lebih baik (bagi kamu) dari apa yang mereka
(orang-orang kafir dan munafik) himpunkan (dari segala jenis kesenangan
dunia)” (Surah Ali Imran, ayat 157).
Inilah jawapan kepada kemuncak sebuah keimanan. Allahu ghayatuna (Allahlah matlamat kita). Amin.